Friday, April 12, 2013

ISU AIR: Pembangkang Terdesak Undi, MB Pahang dakwa pembangkang mencari publisiti murahan

ISU AIR: Pembangkang Terdesak Undi, MB Pahang dakwa pembangkang mencari publisiti murahan


KUANTAN - Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang memainkan isu gangguan bekalan air di daerah ini bermotifkan politik dan mencari publisiti murahan.

Katanya isu tersebut sengaja digembar-gembur oleh Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketandusan isu dan mulai sedar bahawa rakyat kini menolaknya.

"Saya tak nampak ia (masalah air) perlu digembar-gemburkan kerana enjin pam rosak apa nak buat. Sama seperti apabila kita memandu kereta rosak, tak kan nak salahkan pemandu pula.

"Bila masalah air berlaku, saya juga mengalaminya. Tidak mungkin kerajaan sengaja mahu menyusahkan rakyat terutama dekat-dekat Pilihan Raya Umum ke-13," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sejak seminggu yang lepas pihak pembangkang kerap memainkan isu gangguan bekalan air di daerah ini sehingga mengheret masyarakat mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah hari ini.

Mengulas lanjut Adnan berkata masalah bekalan air yang berlaku minggu lalu itu bukan disebabkan ketidakcekapan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) atau salah kerajaan, tetapi kerana salah satu daripada tujuh pam di Rumah Pam Sungai Kobat rosak.

Katanya sebelum ini tujuh pam tersebut berfungsi dengan baik bagi membekalkan air kepada kira-kira 500,000 penduduk tetapi satu daripada enjin pam tersebut rosak dan menyebabkan bekalan air yang dipam ke loji penapisan di Semambu berkurangan.

"Kerajaan (negeri) juga menambah tiga lagi rumah pam baru dengan kos sebanyak RM42 juta tetapi hanya dua beroperasi kerana sebuah lagi mengalami kebocoran pada saluran paip.

"Bagaimanapun, masalah tersebut telah selesai kerana pada masa kini sebanyak sembilan pam telah beroperasi manakala sebuah lagi dijangka beroperasi awal bulan depan," katanya.

Adnan juga berkata tuduhan pembangkang dengan menyatakan masalah air di Kuantan berpunca daripada operasi kilang Lynas juga adalah tidak benar dan fitnah sama sekali.

"Kapasiti air yang dibekalkan seluruh daerah ini adalah sebanyak 330 juta liter sehari tetapi hanya digunakan sebanyak 308 juta liter kerana bakinya disimpan.

"Projek Lynas dari kedua-dua fasa hanya membabitkan 0.3 peratus. Malah, sambungan paip ke kawasan perindustrian tidak membabitkan bekalan yang disalurkan kepada penduduk seluruh daerah ini," katanya.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment