Wednesday, April 10, 2013

Jangan undi PAS lagi!! Kedekut...!!

Jadi wakil rakyat perlu keluar banyak duit
KUANTAN 9 April - Seorang wakil rakyat Pas yang digugurkan daripada senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti mengakui tidak kisah kerana tugas yang dipikulnya selama lima tahun menuntut pengorbanan yang besar terutama dalam soal kewangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Syed Mohammed Tuan Lonik berkata, bukan sahaja elaun sebagai wakil rakyat, malah duit poket sendiri juga terpaksa digunakan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

''Elaun ADUN saya gunakan untuk bantuan kepada mangsa kebakaran, ziarah kematian dan hal-hal kebajikan lain.

"Namun jika ada masalah yang lebih besar seperti jalan rosak atau lampu jalan tidak berfungsi saya akan mengemukakan kepada kerajaan negeri melalui Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya tindakan dapat diambil kerana saya tidak mempunyai peruntukan untuk melakukannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Mohammed berkata, sebab itu, beliau telah mengemukakan hasrat kepada pemimpin Pas negeri sebelum ini untuk tidak mempertahankan kerusi itu kerana bimbang tidak dapat menunaikan amanah terhadap rakyat.

"Saya tidak berkecil hati apabila Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Timbalan Yang Dipertua Pas Indera Mahkota, Andasura Rabu sebagai pengganti saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah," katanya.

Ditanya sama ada terdapat segelintir penyokongnya yang membantah keputusan tersebut jelasnya, perkara itu tidak timbul kerana telah menjelaskan kepada mereka hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan.

"Berilah kepada golongan muda kerana mereka mempunyai banyak idea dan kemampuan menunaikan amanah kepada rakyat. Saya pula akan meneruskan kerja-kerja parti selepas ini di Pas cawangan Balok yang saya asaskan sejak 1985," katanya.

Sementara itu, mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Muhammad Faiz Hashim berkata, sepanjang Syed Mohamad menjadi wakil rakyat di DUN Beserah tiada apa-apa perkhidmatan dilakukannya yang boleh dibanggakan rakyat.

"Sebab itu dia kata tidak kisah bila tidak lagi akan menjadi wakil rakyat sebab bebanan sudah tidak ada pada dia, tanggungjawab sudah lepas.

"Menjadi wakil rakyat bukan hanya kerana nama atau sebab popular, seseorang itu perlu mahir, kreatif dan tahu bagaimana untuk menguruskan kewangan. Peruntukan kepada semua wakil rakyat sama saja, cuma bagaimana wakil rakyat itu menguruskan dan menggunakan duit itu.

''Mana ada wakil rakyat yang tak keluar duit poket sendiri untuk bantu kebajikan pengundi. Nama pun wakil rakyat, kenalah tolong rakyat," katanya.


http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PilihanRaya2013&pub=Utusan_Malaysia&furl&Pilihan_Raya/20130410/px_32/Jadi-wakil-rakyat-perlu-keluar-banyak-duit
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment